Saturday, December 23

REFLEKSI PELAKSANAAN PROJEK BERKUMPULAN - KUMPULAN 8 (SET 33)

REFLEKSI KUMPULAN 8



NUR AMALINA IZZATIE  BINTI MOHAMAD

P135902

Assalamualaikum w.b.t

Pertama-tama, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia, taufik dan hidayahNya, saya dan rakan- rakan dapat berkerjasama dalam menggalas tanggungjawab untuk menyiapkan tugasan kursus Kurikulum dan Inovasi Dalam Pendidikan. Disini, saya ingin berkongsi pengetahuan, pengalaman dan juga implikasi positif yang saya perolehi menerusi pembelajaran. Disamping itu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat pensyarah kursus iaitu Prof Madya Dr. Rosseni binti Din yang banyak memberi tunjuk ajar, sokongan dan berkongsi ilmu sepanjang tempoh pengkuliahan berlangsung. Kursus ini memberi saya banyak input yang yang berguna dan berkesan dalam pemantapan ilmu pengetahuan dan kompetensi digital. Hal ini kerana kursus ini menfokuskan kepada konsep inovasi dan teknologi dalam Pembangunan Bahan Bantu Mengajar (BBM). Pembangunan Projek video secara berkumpulan merupakan antara tugasan yang harus dilaksanakan oleh saya dan ahli kumpulan bagi memenuhi keperluan kursus yang ditetapkan.

Projek video ini juga merupakan alat bantu mengajar untuk sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) yang dikenali sebagai Media pembelajaran. Lantaran itu, hasil pengajaran dan Pembangunan projek ini telah menimbulkan kesedaran pada diri saya akan keperluan dan kepentingan penyediaan BBM yang kreatif, inovatif dan efektif dalam penyampaian teori- teori asas kurikulum kerana ia amat memberi impak kepada proses pembelajaran serta kefahaman dan pengetahuan murid. Saya juga dapat mengetahui akan keberkesanan pengajaran dengan gabungan konsep asas Perancangan dan Pembangunan kurikulum menggunakan teknologi yang menjurus kepada kemampuan membangunkan media pembelajaran yang bersesuaian dan menarik mengikut konteks PdP. Tambahan pula, menerusi pelaksanaan tugasan ini secara langsung telah memberi kesan kepada saya dalam aspek kognitif yang menjadikan saya lebih berdaya cipta dan kritis dalam menyelesaikan permasalahan tugas.


Selain itu, bagi Pembangunan Projek Video saya telah diperkenalkan dengan perisian digital yang baharu iaitu Canva, Filmora dan Capcut. Oleh yang demikian, dengan pengetahuan dan penguasaan perisian ini sedikit sebanyak dapat mengilap lagi kemahiran digital dan kebolehan saya yang boleh diaplikasikan dalam PdP dan juga tugasan yang berkaitan. “Perjuangan Tok Janggut” menjadi kisah yang disunting sebagai intipati penyediaan video dan membawa banyak nilai murni yang dapat dijadikan teladan dan pedoman antaranya nilai Patriotisme. Kaedah pembikinan video ini juga telah menyumbang kepada penghasilan kualiti kerja yang berkualiti dengan pendedahan domain teknologi pendidikan seperti perancangan, reka bentuk, Pembangunan dan penilaian. Amalan cara kerja yang sistematik dan tersusun ini akan saya jadikan sebagai kunci dalam penyampaian kurikulum kelak sekaligus mempelajari serta menguasai kompetensi- kompetensi lain mengikut keperluan Pendidikan Aras ke- 21 (PAK21) bagi memartabatkan pendidikan bertaraf tinggi.

Sepanjang proses pelaksanaan tugasan kursus ini, semangat berkumpulan, toleransi, saling bantu- menbantu dan bersikap terbuka antara ahli kumpulan dapat diwujudkan. Ini jelas ditonjolkan oleh setiap ahli yang mana kami sama- sama berkongsi idea, bantuan, pengetahuan dan kemahiran bagi keberhasilan tugasan. Tuntasnya, intipati kursus ini memberi impak berkesan pada saya dalam membangunkan kemajuan diri dan pemantapan kemahiran mengajar.





NOR HAMIZAH BINTI MA’ARUF

 (P135779)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

 

Pertama sekali, saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat dariNya dapatlah saya membuat refleksi tugasan Inovasi dan kurikulum dalam Pendidikan ini. Saya juga tidak lupa ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan  kepada Prof Madya Dr. Rosseni binti Din diatas perkongsian ilmu, tunjuk ajar, dan maklumat yang telah diberikan sepanjang semester ini berlangsung.  Segala tunjuk ajar dan ilmu yang diberikan kepada saya memang tiada golok gadainya.

 

  Seterusnya, dalam mengikuti kursus ini, terdapat banyak pembelajaran yang baru yang dapat saya jumpai dan pratikkan.  Bagi menjalankan amanah sebagai seorang guru, guru perlu memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan.  Merujuk kepada tugasan yang diberikan, saya dapat mengenal pasti proses PdP dalam subjek Sejarah menjadi begitu kaku dan membosankan kerana guru hanya bersifat indoktrinasi dalam pengajaran, tidak ada komunikasi dua hala hingga menyebabkan tiada interaksi antara guru dan pelajar

         Guru seharusnya lebih peka dan bersedia dalam menjalankan proses PdP.  Penyediaan bahan bantu mengajar dengan mereka bentuk model bahan pengajaran yang sesuai dapat menyumbangkan kepada proses pembelajaran yang berkualiti.  Sebagai contoh, kumpulan saya memilih subjek Sejarah sebagai topik tugasan kerana subjek ini kurang mendapat minat dalam kalangan pelajar.  Jadi, dengan menggunakan medium teknologi, bahan pengajaran boleh dibina mengikut reka bentuk yang sesuai dengan objektif pengajaran.

 

             Seterusnya, dalam mengaplikasikan daripada apa yang di belajar melalui kursus ini, saya dapat menyumbang tenaga dan idea untuk menghasilkan video yang berkualiti.  Tugasan ini penting bagi memastikan apa yang di belajar melalui teori dapat dipratikkan secara jelas.  Saya juga menggunakan kemahiran yang sedia ada dalam membantu rakan-rakan seperti menyunting video di bahagian suara latar.  Elemen-elemen suntingan video seperti teks, kesan bunyi, vokal, muzik, filem, animasi, video berserta perisian komputer yang interaktif menjadi faktor utama dalam mewujudkan bahan reka bentuk pengajaran. 

 

Sebelum mengakhiri wacana ini, saya ingin berterima kasih kepada ahli- ahli kumpulan kerana di situ saya dapat belajar mengenai nilai bekerjasama.  Hal ini kerana dengan hanya menggunakan aplikasi atas talian seperti Whatsapp, Telegram dan juga Google Meet, kami mampu menyumbang tenaga untuk menyiapkan tugasan ini.  Walaupun tidak mengenal secara bertemu muka, namun ahli-ahli kumpulan  saya dapat memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasan ini.  Mereka juga tidak pernah berkira membantu rakan-rakan yang lain dalam melakukan tugas walaupun tugasan sudah dibahagikan dengan sama rata. Sekian daripada saya, saya sudahi dengan ucapan terima kasih.

NOOR AFIZAH BINTI MUSA

(P135709)

Assalamualaikum w.b.t.

Terlebih dahulu saya amat bersyukur kepada hadrat Ilahi di atas kesihatan dan peluang yang diberikan dalam menjalani tugasan ini dengan jayanya. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Prof Madya Dr Rosseni binti Din selaku pensyarah bagi subjek GGGB5613: Kurikulum dan Inovasi dalam pendidikan, di atas tunjuk ajar serta sokongan yang diberikan kepada kami dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Seterusnya terima kasih tak terhingga juga kepada ahli kumpulan saya yang banyak membantu dan bekerjasama bertungkus lumus untuk menyiapkan tugasan yang diberikan tanpa berputus asa walaupun banyak cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga saya terutamanya ibu saya yang banyak memberi sokongan kepada saya sehingga kini.

Kami telah diberikan tugasan untuk membina projek video pembelajaran yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar dan juga masyarakat. Jadi Tokoh Tok Janggut merupakan tajuk pilihan kami dimana kami memilih tokoh perjuangan islam yang terkenal dengan keberaniannya dalam menentang kuasa Inggeris demi mempertahankan kesucian agama Islam serta bangsa Melayu. Dalam proses menyiapkan tugasan ini, saya telah memperoleh banyak ilmu pengetahun berkaitan dengan pembinaan bahan bantu mengajar yang inovatif serta efektif. Tugasan ini juga telah meningkatkan kemahiran saya dalam menghasilkan video pembelajaran menggunakan platform seperti aplikasi canva dan juga filmora. Di samping itu, saya juga semakin memahami langkah yang perlu dilakukan untuk menghasilkan sebuah video yang kreatif dan efektif sebagai contoh kita perlu membina jalan cerita terlebih dahulu, perlu memilih musik yang sesuai, pemilihan gambar, klip video dan sebagainya. Jadi Kemahiran ini saya dapat mengaplikasikan semasa saya menjadi seorang pendidik dalam menghasilkan video pembelajaran yang kreatif serta berkesan untuk pelajar saya kelak.

Selain itu, sepanjang melaksanakan projek video ini ia telah menerapkan nilai-nilai murni seperti tolong menolong, hormat menghormati dan bekerjasama antara rakan-rakan saya.  Kami sentiasa saling membantu sekiranya terdapat masalah yang kami hadapi dalam melaksanakan projek ini. Saya juga telah belajar untuk menghormati idea serta keputusan dari rakan-rakan yang lain dimana kita perlu menilai semua idea atau pandangan yang diberikan. Dan dari segi kerjasama pula kami sentiasa bekerjasama iaitu dalam tugasan ini kami pecahkan untuk bahagi skop kerja masing-masing dan saya amat berbangga kerana semua ahli kumpulan saya bekerjasama dan sentiasa ada dalam melaksanakan projek video ini. Di samping itu, walaupun kami hanya berkomunikasi secara dalam talian tetapi kami dapat mengeratkan hubungan kami. 

Seterusnya, melalui sesi pembentangan yang dilaksanakan pula saya telah belajar untuk menjadi seorang yang profesional serta beradab dalam menyampaikan sesuatu ilmu kepada penonton dan pensyarah. Perlu mengikut arahan yang diberikan dan perlu mengikut masa yang telah diperuntukkan dalam melaksanakan sesuatu tugas. Jadi perkara itu telah mendisiplinkan saya dan membentuk diri saya kearah yang lebih baik. Perkara ini amat berguna kepada saya apabila melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar-pelajar saya nanti.

Secara keseluruhannya, melalui tugasaan ini telah banyak memberikan manfaat yang positif kepada saya. Setiap perkara atau tugasan yang dilakukan pasti akan ada cabarannya jadi saya tidak akan berputus asa dan sentiasa berlapang dada menerima segala teguran daripada guru saya. Saya amat berpuas hati dengan tajuk pilihan kumpulan saya kerana tokoh Tok Janggut merupakan pejuang islam yang perlu kita hargai dan sentiasa mengingati jasa beliau dalam berjuang untuk membela rakyat dan agama islam daripada penjajah. Saya juga sangat berbangga kerana berjaya menyiapkan sebuah video pembelajaran dan berjaya melaksanakan segala tugasan yang diberikan mengikut masa yang telah diperuntukkan.

NURUL AFIFAH BINTI MOHD ZAINUDIN

(P136023)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah sejuta kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat dari-Nya dapatlah saya diberikan peluang untuk terus berada di jalan ilmu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan buat Prof Madya Dr Rosseni binti Din selaku pensyarah bagi subjek GGGB5613: Kurikulum dan Inovasi dalam Pendidikan untuk segala ilmu, perkongsian, sokongan dan tunjuk ajar yang dicurahkan dalam usaha kami menyempurnakan tugasan ini.

Sedikit perkongsian peribadi, saya berasa sangat bertuah diberikan peluang untuk bersama-sama membuat tugasan berkumpulan yang memfokuskan penghasilan projek video pembelajaran. Seperti yang tersedia maklum, penghasilan projek video pembelajaran merupakan salah satu alternatif dalam mempelbagaikan kaedah mengajar. Umumnya, video pembelajaran mampu memfokuskan minat para pelajar dalam sesebuah topik mengikut standard pembelajaran. Seorang guru ini perlulah kreatif dalam teknik pengajaran mereka agar para pelajar tidak hilang minat dalam usaha menuntut ilmu. Justeru, guru haruslah menggunakan peluang pada subjek Kurikulum dan Inovasi dalam Pendidikan ini dalam menimba ilmu secukupnya agar dapat dipraktikkan dalam pengajaran pada masa akan datang.

Melalui kursus GGGB5613 Kurikulum dan Inovasi dalam Pendidikan ini juga menjadi satu titik tolak saya memahami cara dan proses penghasilan video dengan menggunakan beberapa aplikasi dan teknologi masa kini. Antara perkara baharu yang saya perolehi adalah termasuk penggunaan Canva yang lebih meluas dan untuk pengeditan video saya lebih menggunakan aplikasi Filmora dan juga bantuan aplikasi Capcut. Jika sebelum ini, penggunaan Canva dan aplikasi lain adalah terhad dan tidak meluas, akan tetapi apabila diberikan tugasan penghasilan video pembelajaran secara berkumpulan menjadikan saya lebih bersemangat dan seronok dengan proses penghasilan video dari awal penceritaan hingga ke akhirnya. Dalam proses penghasilan video pembelajaran berkenaan, perlu adanya papan cerita atau storyboard yang akan memandu dan menunjukkan perancangan kearah hasil akhir yang baik. Melalui papan cerita juga, saya belajar bagaimana untuk menyusun setiap babak cerita, elemen yang perlu dititikberatkan termasuk grafik, suara latar, transisi dan sebagainya. Setiap darinya yang tersusun mampu menghasilkan sebuah karya atau dalam konteks pendidikan ini sebagai video pembelajaran yang akan digunakan sewaktu PdP di dalam kelas.

Dari segi pemilihan tajuk pula, kumpulan kami telah memilih tajuk Tok Janggut: Sebuah Perjuangan yang menceritakan tentang sejarah perjuangan wira negara, Tok Janggut yang berusaha mempertahankan kedaulatan tanah air dari dicemari dengan kuasa Barat. Pemilihan tajuk ini adalah sesuai dengan standard pembelajaran Sejarah Tahun 5 (Unit 5) dan audiens bagi video kami adalah berfokuskan pada pelajar Tahun 5 dan juga masyarakat umum. Antara sebab lain yang menarik minat kami terhadap kisah perjuangan Tok Janggut ini termasuklah kurangnya pendedahan dan liputan yang sebenar terhadap peristiwa wira negara ini berbanding yang lain sehingga turut menenggelamkan jasa dan mungkin ditidakkan usaha dan semangat perjuangan beliau. Kumpulan kami bersetuju untuk menjadi salah satu penyumbang maklumat dengan menghasilkan video yang menarik dengan elemen pengeditan yang baik juga dapat menarik minat penonton karya ini.

Jika dilihat dari sudut lain pula, saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan rakan-rakan ahli kumpulan yang lain kerana dengan semangat dan kesungguhan yang dimiliki dapat menghasilkan satu bentuk kerjasama yang positif. Setiap dari kami tiada yang bernilai negatif kerana idea yang dijana dan dikongsi bersama akhirnya dapat membawa kepada penghasilan video pembelajaran yang baik. Pembahagian tugas yang sama adil mengikut kepakaran masing-masing juga membuatkan saya lebih seronok untuk bekerja bersama rakan-rakan ahli ini. Tiada nilai negatif yang mampu saya ungkapkan di sini kerana hampir keseluruhan dari kami bersama menyumbang idea dan berkongsikan pendapat walaupun tidak pernah bersua muka sebelum ini.

Sebagai kesimpulannya, subjek Kurikulum dan Inovasi dalam Pendidikan (GGGB5613) ini memberikan banyak input dan nilai positif termasuklah ilmu penghasilan video khususnya, perkongsian murni sehingga kepada hubungan yang positif sesama yang lain. Banyak perkara yang saya pelajari melalui subjek ini yang saya akan praktikkan sewaktu menjadi pendidik anak bangsa kelak.

 

NUR FIZREEM BINTI ROSLY

(P135945)

Assalamualaikum w.b.t

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat juga saya menyiapkan tugasan bagi subjek Kurikulum dan Inovasi Dalam Pendidikan (GGGB5613) pada masa yang tetapkan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Prof Madya Dr Rosseni Binti Din yang merupakan pensyarah pembimbing dalam matapelajaran ini. Penerangan serta pengolahan idea daripadanya banyak membantu saya dalam melaksanakan tugasan ini. Sebelum diberikan tanggungjawab melaksanakan tugasan ini, saya rakan-rakan yang lain telah diberikan penjelasan serta penerangan yang jelas tentang kaedah-kaedah pelaksanaan tugasan ini.Melalui penerangan serta tunjuk ajar yang jelas oleh pensyarah pembimbing kami, saya dan rakan-rakan yang lain berupaya untuk melaksanakan tugasan kami yang mana berfokuskan kepada pembentangan tayangan video.

Sesungguhnya, saya tidak dapat dinafikan yang sepanjang proses menyiapkan tugasan ini, saya mengalami sedikit masalah dalam memahami apa yang perlu dilakukan. Namun, dengan perbincangan Bersama rakan-rakan saya, saya serba sedikit boleh faham apa yang telah dimaksudkan. Jadi, apa yang dapat saya katakan, saya berasa sangat lega akan komitmen rakan-rakan walaupun kadang-kadang saya berasa marah kerana perkembangan dalam menyiapkan tugasan ini bergerak dengan perlahan.

Melalui tugasan ini juga, saya melihat bahawa ianya banyak memberikan ilmu pengetahuan baru kepada diri saya yang bakal bergelar sebagai seorang guru. Dengan pendedahan terhadap proses pengajaran yang sebenar, saya sedikit sebanyak mampu untuk mengaplikasikan setiap apa yang dipelajari di dalam kehidupan saya sebagai seorang bakal guru. Tambahan itu, tugasan ini juga membantu saya menjadi seorang yang lebih peka serta cakna terhadap perkara yang berlaku di sekitar. Sebagai seorang guru, sikap cakna terhadap murid-murid amat penting agar hubungan di antara guru dengan murid mampu terjalin dengan utuh. Hal ini kerana, hubungan yang baik memungkinkan kepada minat serta tumpuan murid dapat ditingkatkan.

Tambahan itu, menerusi tugas ini juga, ia telah menjadikan saya seorang yang berperwatakan profesional dalam melakukan tugas. Walaupun tugasan ini dikira sebagai tugasan sampingan, namun begitu, saya menganggap bahawa tugasan ini amat penting agar nilai-nilai keguruan dapat disemaikan di dalam diri. Membuat sedikit catatan dan ia dilihat amat membantu saya dalam melaksanakan tugasan ini. penambahbaikkan di masa-masa hadapan, saya akan lebih bersedia serta akan membuat persiapan yang rapi sebelum melakukan tugasan-tugasan seperti ini.

Dengan siapnya tugasan ini yang bertajuk “Perjuangan Tok Janggut”, saya berasa sangat bangga dengan diri saya dan subjek ini banyak mengajar saya tentang pelbagai ilmu termasuklah dari segi penggunaan aplikasi yang mana saya tidak pernah guna selama ini. 




SITI NORMIZAN ADILIYA BINTI MOHAMAD AZMI

(P135380)


Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah bersyukur kehadrat Illahi dengan limpah kurniaNya dan dengan izin Allah saya dapat menyiapkan Kerja Kursus GGGB5613 Kurikulum dan Inovasi Dalam Pendidikan dengan jayanya. Disini dapatlah saya membuat refleksi tugasan Kurikulum dan Inovasi Dalam Pendidikan. Saya dan rakan-rakan telah menerima tugasan kerja kursus ini dan diberikan taklimat pada pertemuan pertama pada 26/8/2023 dan 27/8/2023. Sebelum melangkah ke intipati refleksi, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Prof Madya Dr Rosseni Binti Din yang merupakan pensyarah untuk kursus Kurikulum dan Inovasi Dalam Pendidikan di atas perkongsian ilmu, tunjuk ajar dan maklumat yang diberikan. Tidak lupa juga kepada rakan sekumpulan saya iaitu kumpulan 8 kerana banyak memberi tunjuk ajar dan bekerjasama beserta bertukus lumus dalam menyiapkan kerja kursus ini dengan jayanya. Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan, dorongan dan doa serta restu daripada ibu bapa saya dan tidak lupa juga kepada adik beradik saya yang telah mendukung saya untuk menyambung pengajian ini. 


 Setelah mendapat tugasan, saya membaca dan juga memahami serta membuat rujukan untuk mencapai kehendak soalan yang diberikan oleh pensyarah. Maka saya dan rakan-rakan bersepakat memilih seorang tokoh perjuangan tanah air iaitu Tok Janggut. Tugasan ini juga memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna kerana kami diberikan tugas untuk menghasilkan papan cerita (Storyboard) yang lengkap dan juga sebuah video berdurasi selama 10 minit dengan menggunakan platform seperti aplikasi canva dan filmora. Pada mulanya, saya kurang faham bagaimana membuat storyboard dan bagaimana untuk mengolahnya lalu saya meminta jasa baik  rakan sekumpulan saya untuk menerangkannya dan saya ada juga merujuk di internet. Selain itu, saya juga kurang mahir akan penggunaan aplikasi canva dan filmora untuk membina sebuah video tetapi itu bukanlah satu halangan untuk saya malah itu merupakan satu cabaran dan juga ilmu dalam pembelajaran. Walaupun banyak berlaku kekangan seperti masalah kelajuan internet ianya tidak mematahkan semangat saya dalam menyiapkan tugasan ini seperti bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.


Sepanjang tugasan ini juga saya telah mendapat ilmu dan pengetahuan yang baharu dalam pendidikan. Malah saya juga dapat memahami cara penggunaan canva dengan baik dan dapat menghasilkan sebuah storyboard yang lengkap. Ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat diri saya untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Selepas menyempurnakan tugasan ini, saya mendapati bahawa semangat kerjasama merupakan satu aspek yang penting dan perlu diamalkan sama ada dalam pembelajaran atau pekerjaan. Hal ini demikian kerana semangat kerjasama inilah kami sekumpulan dapat berbincang dan terus menghasilkan kerja kursus yang berkualiti jika tidak tugasan ini tidak akan berjaya disiapkan. 


 Tuntasnya, pembelajaran secara elektronik merupakan elemen dan teknologi yang sangat penting pada masa kini dalam pembelajaran supaya dapat membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dalam kalangan pelajar pada abad ke 21. Dengan tugasan ini juga telah memberikan banyak faedah kepada saya dan membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjadi seorang guru yang berkualiti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek. 




                                 FARIDATUN BINTI OMAR
(P135503)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera .

 

    Alhamdulillah, syukur ke hadrat Yang Maha Esa, kerana dengan limpah kurniaNya kami dapat menyiapkan tugasan projek ini dan saya dapat membuat refleksi tugasan kurikulum dan inovasi dalam pendidikan ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi perhargaan kepada Prof Madya Dr. Rosseni Din di atas perkongsian ilmu, tunjuk ajar dan maklumat yang telah diberikan dalam tugasan ini.

 

    Seterusnya , dengan adanya pelaksanaan projek berkumpulan ini dilakukan banyak perkara baru dan ilmu pengetahuan dapat saya pelajari. Secara tidak langsung dengan pelaksanaan projek berkumpulan ini saya dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran pada masa hadapan.

     Dengan pelaksanaan projek ini , saya lebih memahami cara penggunaan aplikasi capcut. Saya dapat meningkatkan lagi kemahiran pengeditan video dengan menggunakan capcut untuk mencapai hasil projek yang lebih baik .  Selain itu, saya juga dapat mempelajari cara penggunaan Canva dan dapat membantu memanfaatkan Canva secara lebih efektif . Di samping itu, semasa menyiapkan tugasan ini membolehkan saya belajar berkomunikasi dan bekerjasama dengan ahli kumpulan .Saya dan ahli kumpulan sering berbincang bersama dalam group whatsApp  dan Google meet. Ia dapat memberi peluang untuk berkongsi idea dan dapat menyiapkan tugasan bersama. Tambahan pula, melalui proses menyiapkan tugas yang saya laksanakan bersama rakan-rakan telah membuatkan hubungan silaturrahim antara kami semakin rapat. Sikap tolenrasi dan bekerjasama dapat ditingkatkan lagi melalui tugasa projek ini .

     Dalam pelaksanaan projek ini kumpulan kami memilih tajuk “ Perjuangan Tok Janggut “ . Tercetusnya idea untuk tajuk ini kerana kurangnya kesedaran masyarakat terhadap tokoh perjuangan ini. Secara tidak langsung , saya juga dapat memahami dengan lebih mendalam tentang perjuangan Tok Janggut ini. 

    Kesimpulannya, dalam pelaksanaan projek ini, banyak saya pelajari tentang teknologi dan inovasi dapat meningkatkan pemahaman saya tentang aplikasi teknologi dalam pendidikan adalah penting. Dengan pemahaman ini, saya boleh mengoptimumkan penggunaan teknologi saya  untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran, meningkatkan kebolehcapaian dan merangsang inovasi dalam kaedah pembelajaran.